Artikel diambil dari facebook Fiqh Wanita TV3.
Artikel ini sangat bermakna. Bukan soalan daripada wanita tu, tapi jawapan yang ustazah bagi sangat terkesan. Bukanlah bermakna berkaitan dengan hubungan aku dengan suami tapi biasalah sebagai wanita dan isteri, bohonglah kalo terkadang terpaksa memendam rasa, tertekan dan hilang sabar dengan tanggungjawab sebagai isteri. Apa kata kita ambil masa untuk baca artikel di bawah ini sebagai panduan kita bersama. Artikel agak panjang tapi sangat berbaloi untuk dibaca.
-------------------------------------------------
CATATAN INI ADALAH DARIPADA YG BERBAHAGIA USTAZAH NORASLINA JUSIN. Mari kita hayati bersama:
Saya menerima satu panggilan telefon lewat petang hujung minggu yang lalu. Di hujung corong, terdengar satu suara yang lembut memberi salam, memperkenalkan diri dan bertanya khabar, tanda pemanggil adalah seorang perempuan. Melihat tiada nama yang terpapar pada skrin telefon bimbit, saya pasti dia bukan terdiri dari kalangan kenalan rapat atau individu yang pernah menjemput saya berprogram.
Kerana itu, pada awalnya saya merasakan belum mahu membuka ruang perbualan, bimbang kemungkinan ia akan mengambil masa yang panjang, tetapi segera saya beristighfar. Saya memujuk diri lantas segera menekan butang menerima panggilan.
“Alhamdulillah, saya di sini sihat. Puan pula bagaimana?”
Demikian, perbualan kami bermula sampailah dia membuka bicara tentang tujuan awal dia menyapa. Persoalan utama yang sedang mengundang galau di hatinya; soal rumahtangga.
BAGAI BUNGA LAYU
“Saya sebenarnya mahu meminta nasihat daripada ustazah, tentang rumahtangga saya. Segala kebaikan yang saya lakukan pada suami terasa sia-sia. Saya bagai ditipu dengan kelaku baiknya di depan saya, tetapi rupa-rupanya di belakang, dia bermain kayu tiga.”
Mendengar lafaz demi lafaz yang meluncur dari mulutnya, menjadikan saya sempit dada. Saya menarik nafas dalam-dalam, cuba bertenang dan menunggu penuh sabar sambil memasang deria pendengaran pada setiap patah kata yang menerobos seterusnya ke cuping telinga.
Dia menjelaskan bahawa tanpa sengaja, sebulan yang lalu, dia menemukan beberapa pucuk emel yang dikirim suaminya kepada seorang wanita dalam nada mesra dan manja.
“Mahu saya katakan hubungan suami dan perempuan itu sekadar teman tapi mesra, tidak boleh juga kerana dada saya ni bagai mahu pecah bila melihat kalimah cinta suami kepada wanita itu.
Saya sangkakan selama ini ikatan antara kami sudah utuh sekali, tetapi dalam diam rupa-rupanya dia mengkhianati. Selama tujuh tahun saya rasakan hidup kami cukup bahagia. Namun, masalah ini menjadikan saya sangat menjeruk rasa. Saya sudah berbicara dari hati ke hati seminggu yang lalu bersama suami dan dia mengakui khilaf dan silapnya, juga berjanji untuk tidak mengulanginya lagi. Selepas itu, suami kelihatannya mengambil berat dan memberikan perhatian kepada saya dan anak-anak, cuma...rasa cinta di hati saya ini bagai bunga yang telah layu, ustazah. Sudah hilang serinya!
Kini, walau suami bersikap baik terhadap saya, sangat sukar untuk saya masih melupakan pengkhianatannya itu. Terlalu payah untuk saya melayaninya sehangat dulu. Dalam masa yang sama, saya bagai puas melihat suami seakan menagih simpati saya. Entahlah...tawar hati rasanya untuk melakukan yang terbaik. Sungguh saya tak sangka, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari....” Nadanya semakin pilu meluahkan apa yang terbuku.
Menangkap peribahasa indah pada penghujung bicaranya itu, saya terlintas sesuatu untuk diucapkan.
“Hmm..mengharap panas tidak sampai ke petang...itulah asas masalah yang puan harus pertimbangkan..” Ringkas jawapan saya. Sengaja saya biarkan begitu bagi merajut perhatiannya untuk bertanya.
“Saya kurang faham ustazah. Asas masalah? Pertimbangan bagaimana?”
“Puan, setiap yang berlaku di dunia ini tidak akan ada yang pernah kekal, kerana tiada yang tidak pernah mengalami perubahan. Begitu juga kasih dan cinta dalam rumahtangga. Bermula bahagia dan saling mengasihi, namun di tengahnya datang ujian yang menggugat setia dan cinta kepada insan yang disayangi. Oleh itu, untuk mengekalkan rasa cinta, ia memerlukan kesungguhan dalam ruang ketara sedar yang amat tinggi bahawa cinta boleh saja berakhir bila-bila, namun tetap yakin dengan izin-NYA, ia mampu kekal hingga ke syurga .
Kerana itu, bukan ‘bila’ dan selama mana hujan itu turun yang menjadi persoalannya, tetapi sebesar mana ‘payung’ yang puan sediakan bagi menghadapi ‘renyai atau lebatnya. ” Agak berfalsafah ungkapan ayat yang saya beri, tetapi saya yakin jiwa wanitanya tidak sukar untuk memahami.
KEBURUKAN vs KEBAIKAN
Saya titipkan kepadanya sepotong ayat indah lewat firman-Nya yang bermaksud :
”Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan itu dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. Sifat-sifat yang baik itu tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang sabar dan tidak dianugerahkan melainkan kepada orang yang mempunyai keuntungan besar.”( Surah Fushshilat ayat 34-35)
“Saya harapkan ayat ini dapat menjadi taujihat Rabbaniy (peringatan dari ILAHI) bagi kita terutama dalam melayari cabaran pernikahan. Saya sedar saat ini sebagai isteri, bilah-bilah hari puan mungkin diwarnai emosi negatif seperti kecewa, kesal, marah, tidak bahagia dan seumpamanya. Di satu sisi, kondisi itu wajar dan manusiawi, tetapi jika ia dibiarkan dan tidak dikelola, kekesalan itu akan bertindak seperti gergaji. Ia memotong secara perlahan; melukai, berdarah, bernanah sehingga akhirnya hati yang satu terbelah dua.
Puan, tidak berbaloi jika ruang kebahagiaan selama tujuh tahun puan dan suami sebelum masalah ini timbul dikesampingkan begitu sahaja. Bukan satu kewajaran, merespon secara emosi. Bukan saja masalah tidak selesai, tetapi malah bertambah kusut. ALLAH mendidik, keburukan dibalas dengan kebaikan. Hubungkanlah jambatan komunikasi bersama suami bukan meruntuhkannya. Maafkanlah suami, bantu dia memperbaiki diri dan doakan kebaikan buatnya.” Bertali peringatan yang saya unjurkan buat dia merenung diri.
DEMI SEBUAH UKHUWWAH
“Ustazah, memaafkan mungkin mudah untuk saya lafazkan, tetapi melupakan dan tidak lagi terkenang-kenang itu sangat sukar!” Jujur dia mengakui.
Mendengar itu, saya tersenyum lantas teringat sebuah kisah yang pernah saya kongsikan pada dinding Muka Buku. Kisah Nabi ALLAH Yusuf a.s tatkala jejak kasihnya bersama ayahanda yang tercinta, Yusuf bercerita :
"Ayahanda, inilah interpretasi mimpiku yang dulu; Pemeliharaku telah menjadikannya benar. DIA telah berbudi baik kepada ku apabila DIA mengeluarkanku dari penjara, dan DIA mendatangkan ayahanda dari gurun setelah syaitan menyelisihkan antaraku dan saudara-saudaraku. Pemeliharaku halus terhadap apa yang DIA kehendaki; sesungguhnya DIA Yang Maha Mengetahui, Yang Maha Bijaksana."
Begitu lembut ungkapan Nabi Yusuf tanpa sedikitpun mengungkit kisah keperitannya diperdaya, dihumban dan ditinggalkan dalam perigi oleh abang-abangnya yang cemburu dan iri di hadapan ayahanda yang dikasihi.
Saya nyatakan bahawa iktibar dari kisah ini ialah banyak ketikanya, dalam jalinan kasih dan cinta, membajainya memerlukan pengorbanan jiwa dan perasaan. Demi memastikan sebuah kelangsungan dalam ikatan perkahwinan, persahabatan atau persaudaraan agar ianya berpenghujung dalam redha TUHAN, ada kisah pahit yang perlu ditanam dari terus menggamit pedihnya sebuah kenangan.
Keutamaan bukan untuk menentukan kebenaran diri, tetapi demi penerusan sebuah ukhuwwah yang paksinya adalah CINTA ILAHI.
MUHASABAH DIRI
“Puan, usah memendam pedih, dendam dan benci di dalam hati, buanglah kesakitan itu jauh-jauh dan rebutlah kembali kasih-NYA dengan mempertaut ikatan cinta bersama suami. Bukankah beliau telah mengakui khilaf diri, lalu mengapa dilempar kemaafan yang dihulur dalam keinsafan dan taubat kepada-NYA? Maafkanlah, maafkanlah suami puan itu......Demi kerana ALLAH.” Saya masih berusaha memujuk.
“Tapi bagaimana dapat saya lakukan itu, ustazah? Semakin saya cuba, kenangan pahit itu datang mengganggu semula….” Kali ini, suaranya semakin serak…sebak barangkali.
“Ada caranya puan. Dengan syukur dan sabar. InsyaALLAH, jika puan menghayatinya, puan akan dapati ia menjadi satu keajaiban buat diri. Cuma, untuk mencapai keajaiban itu, ada dua perkara yang harus puan fahami sebaiknya.” Sekali lagi saya berusaha memancing perhatiannya. Kelihatannya, dia diam tanpa bicara. Lalu, saya meneruskan kata-kata.
“Pertama, puan harus meyakini bahwa ALLAH SWT adalah Zat yang menciptakan segala perbuatan hamba-NYA, maka segala sesuatu yang dikehendaki ALLAH untuk ia berlaku, pasti akan berlaku. Dan sebaliknya, segala sesuatu yang tidak dikehendaki ALLAH untuk tidak terjadi, maka pasti tidak akan terjadi. Ringkasnya, tidak ada satu perkara, peristiwa atau apa jua di dunia ini, walau seberat zarah, melainkan ia bergerak dan berlaku dengan izin dan kehendak ALLAH. Justeru itu, bila sesuatu menimpa kita, baik kebaikan atau keburukan, maka fahamilah ia hakikatnya berlaku atas keizinan ALLAH, dan berlakunya sesuatu itu pasti ada hikmah yang tersedia di sebaliknya, ia tidak sia-sia. Dengan memahami ini, jiwa kita akan bebas dari segala kekesalan dan kegelisahan.
Kedua, puan harus memahami dan menginsafi bahawa tatkala ALLAH menjadikan pihak lain melakukan sesuatu keburukan kepadanya, maka kemungkinan itu semua terjadi adalah kerana dosa-dosa yang telah dilakukannya, secara sedar atau tidak sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud :
“Dan apa saja musibah yang menimpa kamu, maka itu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan ALLAH memaafkan sebahagian besar (dari kesalahan-kesalahanmu).” ( Surah Asy Syuura ayat 30).
Apabila kita mengakui bahwa segala musibah yang menimpa adalah kerana dosa-dosa yang telah lalu, maka kita pasti akan sibuk untuk bertaubat dan memohon ampun kepada ALLAH atas dosa-dosa yang menjadi sebab ALLAH menurunkan musibah tersebut. Puan, adakalanya, sebagai isteri, kita terlepas pandang tentang hak suami, kita lalai dalam menunaikan kewajipan sebaiknya selaku isteri, lalu dengan merenungi firman ALLAH tadi, kita akan sibuk bermuhasabah serta tidak mudah menuding jari kepada pihak yang telah menzalimi. Yakinlah puan, dalam kefahaman sebegini, musibah yang dialami akan dilihat sebagai nikmat bukan musibah yang dahsyat. ” Panjang lebar saya menjelaskan.
“Puan, kalau boleh ingin saya mencadangkan sesuatu. Malam ini, sebelum puan dan suami memejamkan mata, puan pegang tangan suami dan genggam jari jemarinya. Kuat dan erat. Puan akan rasai kasih puan kepadanya masih hangat, masih membara….” Buat kesekian kalinya saya cuba memotivasi dirinya.
GENGGAM CINTAMU.....
Sejurus terdengar esakan halus di hujung telefon. Saya turut tersentuh. Bukan saja-saja saya mencadangkan itu, kerana pada saya, usah menunggu sesaat, seminit, sejam apatah lagi menanti bertukarnya hari untuk isteri menggenggam jemari suami, untuk suami memegang erat pautan jemari si isteri sebagai implementasi hati yang sedang subur dengan cinta dan kasih murni, kerana bila tiba masa hanya satu tangan sahaja memaut erat sementara tangan yang lain sekadar kaku terbuka, fahamilah bahawa ketika itu, hanya airmata penyesalan menjadi jawapan bahawa anda sudah terlambat untuk merasai hangatnya genggaman cinta dari dua tangan, panasnya haba kasih dari sepuluh jemari saling berpautan sehingga mampu menggugurkan dosa-dosa antara mereka, menjadikan rasa mesra yang mengalir menggamit rahmat dan cinta Yang Maha Esa.
”Puan, sangat besar pahala yang disediakan oleh ALLAH bagi orang yang memaafkan dan bersabar. Akhirnya, terpulanglah pada pilihan solusi dalam diri masing-masing. Andai puan memilih untuk terus bersangka dan marah-marah, maka kebahagiaan boleh musnah. Jika mengambil jalan muhasabah, maka muhasabah yang benar itu perlu, bukan sekadar melihat kekhilafan diri, tetapi juga kembali untuk mengenal ALLAH dengan setiap kehebatan-NYA yang tidak terperi. Di situ, akan ada ketenangan yang hakiki menanti, InsyaALLAH.”
Saya mengakhiri bicara dengan dada yang sebak tapi semakin lapang mengharap reda ar Rahman.